NAJIS BERDARAH

NAJIS BERDARAH
Ada banyak sebab mengapa berlaku pendarahan di dalam najis. Apa yang para doktor akan lakukan ialah bermula dari mengambil sejarah terperinci berkenaan dengan cara pembuangan najis pesakit.
  1. Buasir (haemorrhoid) – secara amnya buasir disebabkan oleh luka yang berlaku dari pembuluh darah yang menjadi kusyen bagi di bahagian anus (lubang dubur). Pendarahan sering berlaku bagi pesakit yang mempunyai sejarah sembelit atau kesukaran untuk membuang najis. Darah dari buasir selalunya adalah darah merah yang segar (fresh) beserta dengan menitis-nitis sesudah selesai pembuangan najis. Darah tidak akan bercampur dengan najis. Kadang kala pesakit dapat merasakan kehadiran benjolan-benjolan (bengkak) licin di lubang dubur. Pesakit kadang kala merasakan kegatalan dan sakit di kawasan dubur.
  2. Divertikulum – Ini adalah poket-poket kecil yang terdapat marata-rata di usus besar. Pendarahan yang berlaku selalunya darah yang segar kadang kala berketul seperti pendarahan haid di kalangan wanita. Pesakit akan mengatakan bahawa mereka ke tandas untuk membuang air besar tetapi yang keluar adalah darah segar, tiada najis. Kadangkala pesakit akan mengadu selalu sembelit untuk ke tandas.
  3. Kanser – Kanser usus adalah kanser yang ketiga tertinggi dikalangan pesakit di Malaysia. Tanda- tanda awal ialah berak berdarah yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan sewaktu membuang najis. Darah akan bercampur dengan najis. Pesakit kadangkala ada pertukaran dari segi tabiat membuang air besar – sembelit berpanjangan, cirit beserta darah, sering ke tandas untuk membuang air besar tapi tiada (tenesmus).
  4. Luka di anus (anal fissure) – Pesakit yang mempunya masalah sembelit boleh mendapat luka dibahagian anus. Sering kali darah daripada luka ini adalah darah merah segar beserta dengan sakit di anus dan selalunya pendarahan akan berhenti sendiri. Pesakit selalunya mengenalpasti pendarahan ini apabila membersihkan dubur dengan tisu di akhir pembuangan najis.
  5. Polip – ini adalah ketumbuhan “daging” yang boleh terdapat di sepanjang usus. Pendarahan yang berlaku bergantung kepada lokasi polip. Semakin dekat dengan dubur, semakin merah segar pendarahan yang berlaku. Sesetengah polip adalah ketumbuhan yang berpotensi untuk menjadi kanser (bergantung kepada ujian biopsi)
  6. Angiodisplasia – adalah pembuluh darah kecil yang tidak normal boleh terdapat di seluruh kawasan usus. Pembuluh darah ini boleh luka dan menyebabkan berak berdarah. Variasi jenis pendarahan dari merah segar ke kehitaman bergantung kepada lokasi pembuluh darah ini.
  7. Keradangan usus (proctitis / colitis) – secara amnya keradangan boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman. Pesakit akan mengadu cirit bercampur dengan darah atau najis yang lembut diselaputi darah.
  8. Ubat – beberapa jenis ubat boleh menyebabkan pendarahan seperti ubat pencair darah – warfarin dan aspirin.

No comments:

Post a Comment